Polis Thailand melakukan kawalan ketat susulan insiden letupan di Bangkok. Foto : AFP
AGENDAGLOBAL

Letupan di Nonthaburi tiada kaitan dengan insiden di Bangkok

BANGKOK, 4 OGOS : Polis Thailand menafikan peranti letupan yang ditemukan di tepi jalan di daerah Pak Kret di Nonthaburi hari ini mempunyai kaitan dengan siri letupan siri di Bangkok pada Jumaat lepas.

Timbalan jurucakap polis, Pol Kol Krissana Pattanacharoen berkata peranti kecil dipercayai dikenali sebagai “bom ping pong” dihasilkan oleh pelajar yang terlibat dalam pergaduhan antara kumpulan.

Beliau berkata polis dimaklumkan mengenai kotak mencurigakan yang ditemukan di tepi jalan Wat Salak Nua pada jam 2 petang (waktu tempatan).

“Polis menemukan satu peranti yang meletup dan dua peranti tidak meletup dalam kotak kadbod,” katanya.

Saksi memberitahu polis bahawa “bom ping pong” ditemukan selepas sekumpulan pelajar meninggalkan sebuah kedai serbaneka setelah terlibat dalam insiden kejar.

Kemudian, bunyi letupan yang kuat kedengaran dan ‘bom ping pong’ yang digunakan ditemukan.

Pada Jumaat, siri letupan dilaporkan di lima lokasi di ibu negara Thailand itu di sini selepas beberapa letupan kecil menyebabkan empat orang cedera.

Polis menemukan sembilan bom, termasuk beberapa peranti yang tidak meletup.

Sementara itu, polis Thailand menafikan laporan bahawa dua suspek dari Narathiwat di selatan Thailand, yang ditahan kerana didakwa meletakkan peranti letupan di kaki lima dekat ibu pejabat Polis Diraja Thailand di Rama I Road pada petang Khamis, dberi layanan buruk semasa dalam tahanan polis.

Krissana berkata kedua-dua lelaki itu ditahan di bawah Dekri Darurat 2005 mengenai Pentadbiran Awam Semasa Darurat untuk membantu siasatan selama tujuh hari, sehingga 8 Ogos.

“Kedua-dua mereka selamat di bawah jagaan pihak berkuasa semasa disoal. Mereka diberi layanan yangh sama seperti suspek lain, ” katanya sambil menambah ahli keluarga mereka juga melawat mereka hari ini.-BERNAMA


Pengarang :