BERITA UTAMA

LHDN: Tidak wujud pecahan cukai ikut kaum

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan wujud pecahan kutipan cukai mengikut komposisi kaum, seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Bahagian Komunikasi LHDN dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah menyimpan maklumat pembayar dan data kutipan cukai berdasarkan komposisi kaum serta bangsa, selari prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak lembaga.

“Data dan maklumat pembayar cukai yang direkodkan dalam sistem LHDN dikategorikan mengikut komponen pembayar cukai, membabitkan cukai individu serta syarikat.

“Pecahan mengikut lapan komponen ini boleh disemak di portal www.hasil.gov.my dan siaran media Kementerian Kewangan,” katanya.

Pada masa sama, LHDN turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung pembentangan kertas putih di Parlimen membabitkan laporan jumlah sumbangan cukai berdasarkan komposisi kaum di Malaysia.


Pengarang :