Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lif jatuh: Jabatan Keselamatan tolak unsur vandalisme

PUTRAJAYA, 5 OGOS: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menolak unsur vandalisme dalam kejadian sebuah lif berhenti mengejut di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi.

Ketua Pengarah JKKP, Ir Omar Mat Piah berkata, siasatan jabatan itu kini menjurus kepada isu data teknikal yang menyebabkan lif itu bergerak lebih laju daripada biasa.

“Lif di PPR Kerinchi nampak ‘ok’ dan memang diselenggara mengikut jadual serta standard keselamatan yang ditetapkan.

“Daripada segi vandalisme kita boleh ‘eliminate’ sebab pintu lif ni sentiasa tertutup dan kalau nak buka mesti ada kunci khas.

“Di bahagian bilik motor juga hanya orang berkenaan sahaja boleh masuk,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan 3 Juta Manhours Without Loss Time Injury di sini, hari ini.

Majlis itu memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada semua kakitangan JKKP Ibu Pejabat yang mencapai sifar kemalangan bermula dari 2003 hingga 2018.

Pada masa sama, Omar berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat yang boleh membantu JKKP membuat analisis.

“Jadi, sekarang ini kita sedang kumpul data kenapa lif itu bergerak lebih laju daripada biasa tetapi tidaklah terlalu laju sampai lif berkenaan mengaktifkan gear khas.

“Dalam lif ni banyak kawalan keselamatan tetapi kita kena tahu lif ini buatan manusia, akan ada masalah dan dari situ kita mahu dapatkan data untuk analisis lanjut,” katanya.

Dalam kejadian di PPR Kerinchi pada 2 Ogos lalu, lapan individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas lif di pangsapuri berkenaan mengalami kegagalan sebelum berhenti di tingkat lima.

-BERNAMA


Pengarang :