AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Lima daerah di Selangor diramal jerebu hingga Khamis

SHAH ALAM, 2 OGOS: Lima daerah di Selangor diramalkan mengalami cuaca berjerebu sehingga Khamis ini, 8 Ogos.

Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) melalui laman webnya melaporkan, lima daerah itu adalah Sepang, Kuala Langat, Petaling, Klang dan Kuala Selangor.

Sementara Hulu Langat, Gombak, Hulu Selangor dan Sabak Bernam pula dijangkakan mengalami keadaan berkenaan sehingga Isnin (5 Ogos).

Namun kemudiannya keempat-empat daerah itu diramalkan mengalami cuaca panas sehingga Khamis.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keadaan jerebu dialami di Lembah Klang adalah ekoran asap kebakaran hutan dan tanah gambut yang berlaku di beberapa kawasan tengah Semenanjung seperti di Selangor dan Pahang.

Selain itu, beliau berkata, perkara itu turut disumbangkan pelepasan asap daripada kenderaan dan industri terutamanya di Lembah Klang.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan turut menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti fizikal yang menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisma badan sepanjang jerebu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini berikutan ia boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu dan cuaca panas.

Beliau turut meminta orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan atau menggunakan penutup hidung dan mulut, payung dan topi sekiranya berada di luar rumah.


Pengarang :