Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson menjulang trofi Piala Super Eropah selepas menewaskan Chelsea 5-4 melalui sepakan penalti. Foto Facebook UEFA Champions League
AGENDASUKANKINI

Liverpool julang Piala Super Eropah kali keempat

SHAH ALAM, 15 OGOS: Liverpool menjulang Piala Super Eropah buat kali keempat dalam sejarah selepas menewaskan Chelsea 5-4, melalui sepakan penalti, pagi ini.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas aksi 120 minit perlawanan yang berlangsung di Stadium Vodafone Park, Istanbul, Turki.

Chelsea terlebih dahulu di hadapan 0-1, melalui jaringan Olivier Giroud selepas tenang menewaskan penjaga gol The Reds, Adrian San Miguel del Castillo hasil hantaran Christian Pulisic, pada minit ke-36.

Awal babak kedua kemudian menyaksikan Liverpool berjaya menyamakan kedudukan 1-1, melalui Sadio Mane yang memanfaatkan umpanan Roberto Firmino, pada minit ke-48.

Tanpa tambahan jaringan selepas tamat masa sebenar perlawanan, Mane sekali lagi meledak jaringan kedua Liverpool pada babak pertama masa tambahan di minit ke-95 hasil gerakan bersama Firmino bagi kedudukan 2-1.

Selang enam minit kemudian, penjaga gol Liverpool, Adrian melakukan kesilapan menjatuhkan penyerang Chelsea, Tammy Abraham dan pengadil, Stephanie Frappart tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan penalti.

Jorginho tidak mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan 2-2 bagi memastikan perjuangan Chelsea diteruskan.

Kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat masa tambahan menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti.

Adrian menebus kesilapan sebelum ini apabila menyelamatkan sepakan penalti kelima The Blues yang diambil Abraham bagi memastikan skuad kendalian Jurgen Klopp menjulang kejuaraan buat kali keempat.

Sebelum ini, Liverpool berjaya menjulang trofi sama pada 1997, 2001 dan 2005.


Pengarang :