AGENSISELANGOR

LZS bantu biaya kos kanak-kanak buah pinggang bocor

SABAK BERNAM, 17 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mempertimbangkan pembiayaan kos pengangkutan ke hospital untuk kanak-kanak 12 tahun yang menderita penyakit buah pinggang bocor di Parit 16, Sungai Panjang, Sungai Besar di sini, mendapatkan rawatan susulan setiap bulan.

Jurucakap LZS dalam kenyataan di Facebook berkata, pihaknya juga berusaha membantu menyelesaikan masalah berkaitan tunggakan rumah sewa keluarga Muhammad Aiman Irfan Mohd Sharif.

“Kita membantu keluarga ini sejak Februari lalu dan mereka adalah penerima bantuan zakat dalam bentuk kewangan bulanan sebanyak RM500 sebulan, selain menerima bantuan Makanan Bulanan serta Bantuan Pendidikan.

“Ayahnya bekerja kampung seperti mengambil upah sawit dan mereka tinggal di kediaman sewa rumah berjumlah RM150 sebulan,” katanya.

Selepas kisah penderitaan anak ketiga daripada enam beradik itu dipaparkan media tempatan baru-baru ini, LZS segera menziarahi bagi melihat sendiri keadaan kesihatan kanak-kanak berkenaan.

“Alhamdulillah, hasil ziarah ini dia (Aiman) kelihatan sihat, baharu pulang mengambil adik-adiknya dari sekolah.

“Walaupun keluarga ini adalah asnaf miskin yang menerima bantuan zakat, namun kita tetap menziarahi mereka bagi melihat keperluan belum mencukupi,” katanya.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit berdepan penyakit buah pinggang bocor sejak berusia sembilan tahun sehingga mengakibatkan perutnya membuncit dan warna kulit bertukar kekuningan.

Lebih memilukan, dia kini terpaksa berkorban mengambil upah mengutip buah sawit relai di Sungai Besar bersama abang sulung untuk menampung kehidupan keluarga.

Atas faktor kemiskinan, kanak-kanak ini turut terlepas rawatan dialisis di Hospital Teluk Intan (HTI) kerana tidak mempunyai kenderaan untuk ke sana, selain kerap tidak hadir ke sekolah ekoran penyakit membataskan pergerakan seharian.

Justeru, orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1012329100000526 atas nama Muhammad Aiman Irfan Mohd Sharif.


Pengarang :