Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop (tengah) merasmikan FPX E-Majikan ketika Majlis Mesra Majikan 2019 di Wisma PKPS, Shah Alam pada 29 Ogos 2019.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS lancar FPX E-Majikan mudahkan bayaran zakat

SHAH ALAM, 29 OGOS: Pembayaran zakat kini menjadi lebih mudah dan pantas berikutan pelancaran kemudahan FPX E-Majikan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Md Yusop berkata, kemudahan tersebut yang dimulakan sejak 25 Julai 2019 itu membabitkan majikan yang menyertai Skim Potongan Gaji (SPG).

“Jika dahulu majikan hanya boleh menyemak rekod bayaran yang lepas tetapi melalui FPX-E Majikan ini, selain memuat naik data pencarum atau kakitangan, mereka juga boleh terus membuat pembayaran kepada LZS melalui bank-bank yang dipilih.

“Untuk makluman semua, LZS adalah institusi zakat pertama yang menggunakan pembayaran potongan gaji oleh majikan melalui kaedah FPX di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Mesra Majikan 2019 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, di sini, hari ini.

Saipolyazan berkata, sehingga kini sebanyak 151 daripada 4,458 majikan yang mendaftar melalui SPG telah beralih menggunakan khidmat FPX E-Majikan.

Katanya, orang ramai boleh menyemak takziran zakat yang sepatutnya dibayar di laman sesawang LZS.

Sementara itu, pada Program Mesra Majikan 2019, sebanyak 100 wakil majikan hadir menyaksikan pelancaran FPX E-Majikan.


Pengarang :