AGENDANASIONAL

MAHB, syarikat penerbangan tempatkan semula kaunter daftar masuk

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Malaysia Airports bekerjasama dengan sembilan syarikat penerbangan untuk mengagihkan semula dua baris kaunter daftar masuk (CIC) dan menempatkan semula beberapa kiosk daftar masuk di terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Syarikat penerbangan itu ialah Malaysia Airlines (MH), Malindo Air (OD), Thai Smile (WE), Vietnam Airlines (VN), Pakistan Airlines (PK), Royal Jordanian (RJ), Cathay Dragon (KA), Philippines Airlines (PR) dan Bangkok Airways (PG).

Dalam kenyataan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di sini hari ini, pengendali lapangan terbang itu berkata ia berhasrat mencapai pengagihan sama rata aliran penumpang di semua CIC semasa tempoh puncak.

Mulai 7 Ogos, semua penumpang MH yang menggunakan penerbangan kelas ekonomi ke destinasi antarabangsa perlu mendaftar masuk di baris H.

Ketika ini, antara syarikat penerbangan yang beroperasi di baris H seperti WE, VN, PK, RJ, KA, PR dan PG akan berpindah ke baris C, manakala OD pula ke baris F.

“MAHB berharap dapat mencapai pengagihan sama rata penumpang di semua baris yang akan mengurangkan aliran semasa kepada sekurang-kurangnya 50 peratus menerusi penempatan semula baris CIC itu.

“Inisiatif itu juga akan menggalakkan lebih ramai penumpang menggunakan kiosk daftar masuk sendiri untuk perjalanan yang lebih lancar,” kata kenyataan itu.

Sebanyak 24 kiosk akan ditempatkan semula di depan CIC G/F sehingga L/M.

-BERNAMA


Pengarang :