AGENDANASIONAL

Mahkamah Koroner benarkan prosiding komital terhadap Peguam Negara

SHAH ALAM, 27 OGOS: Mahkamah Koroner di sini hari ini membenarkan prosiding permohonan perintah komital (menghina mahkamah) yang difailkan keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas dijalankan.

Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen serta afidavit dikemukakan oleh kedua-dua pihak iaitu pemohon yang diwakili peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla serta peguam kanan Persekutuan, S Narkunavathy, yang mewakili Tommy dalam prosiding sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Rofiah berkata, keputusan itu juga dibuat selepas beliau berpuas hati dengan hujahan kedua-dua pihak berhubung wujudnya prima facie dalam perjalanan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib.

Beliau berkata, kes kematian anggota bomba itu diketahui sebagai satu kes berprofil tinggi dan berkepentingan umum.

“Dalam prosiding inkues sebelum ini, terdapat perkembangan untuk memberhentikan peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga Muhammad Adib iaitu Syazlin Mansor yang boleh mencacatkan dan memudaratkan kelancaran inkues.

“(Malah) Afidavit yang dikemukakan (bekas) pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah pada 3 April lepas pula menimbulkan gesaan supaya inkues ini digantikan dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Keadaan itu sekaligus mewujudkan persepsi negatif terhadap inkues yang dijalankan oleh saya atas kuasa peguam negara sendiri untuk mengetahui apakah punca dan hal ehwal di mana Muhammad Adib menemui ajalnya.

“Ia (afidavit) meletakkan seolah-olah inkues satu permainan wayang dan integriti (mahkamah) dipertikaikan,” katanya.

Rofiah kemudian menetapkan 23 September ini bagi pendengaran dan pengurusan kes permohonan perintah komital berkenaan.

Mohamed Haniff Khatri yang ditemui pemberita di luar mahkamah sekali lagi menegaskan permohonan perintah komital itu bukan mahu menghukum sesiapa sebaliknya untuk menuntut keadilan dan menjernihkan keadaan bahawa keputusan inkues kelak tidak dianggap sebagai suatu ‘wayang’ kepada rakyat.

Malah katanya, permohonan perintah komital itu juga dibuat atas permintaan keluarga Muhammad Adib yang mahu peguam negara memohon maaf kepada mereka dan mahkamah berhubung kenyataannya sebelum ini.

Dalam permohonan perintah komital yang difailkan keluarga Muhammad Adib pada 16 Julai lepas itu, bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, mendakwa Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lepas berhubung punca kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Pada Rabu lepas, Tommy menerusi Narkunavathy yang mewakilinya memberitahu mahkamah, dakwaan keluarga anggota bomba itu bahawa afidavit Peguam Negara dikatakan mengganggu inkues serta menghina mahkamah, tidak diberikan secara terperinci.

Bagaimanapun, Mohamad Haniff Khatri pula memberitahu, afidavit peguam negara pada 3 April lepas yang menyatakan Muhammad Adib meninggal dunia bukan disebabkan kecederaan akibat serangan, jelas menggangu prosiding inkues.

Katanya, Tommy selaku Peguam Negara tidak boleh mengeluarkan keputusan berhubung punca kematian Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara.

– BERNAMA


Pengarang :