AGENDANASIONAL

Mahkamah putuskan esok tarikh perbicaraan kes 1MDB Najib

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Tarikh perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama, akan diputuskan esok.

Ini tertakluk sama ada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd boleh diselesaikan esok atau sebaliknya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menetapkan 4.30 petang esok bagi kedua-dua pihak (pendakwaan dan pembelaan) untuk memaklumkan kepada beliau perkembangan terkini status perbicaraan SRC.

Bagaimanapun, hakim itu bercadang untuk memulakan perbicaraan 1MDB pada Selasa depan (27 Ogos) bergantung kepada perkembangan kes SRC.

Terdahulu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mencadangkan agar kes 1MDB bermula pada Selasa (27 Ogos) kerana kes semakan kehakiman mengenai kes sivil untuk menggugurkannya sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Isnin.

“Pihak pendakwaan sudah bersedia untuk memanggil saksi memberi keterangan tanpa kenyataan saksi mereka,” katanya.

Sementara itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata rayuan berhubung semakan kehakiman itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya setengah hari dan beliau juga mencadangkan perbicaraan kes 1MDB bermula pada 3 September bagi membolehkan pihak pembelaan mempunyai masa seminggu untuk mengkaji 15 jilid atau 732 dokumen daripada pihak pendakwaan.

“Kami tidak boleh menumpukan perhatian terhadap kes 1MDB sementara kes SRC masih berjalan,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, berdasarkan kenyataan saksi bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, beliau menyebut pihak pendakwaan bertanyakan soalan mengenai e-mel dan perbualan BlackBerry Messenger.

“Jadi pihak pembelaan memohon pendakwaan menyediakan dokumen berkaitan perkara itu,” katanya.

Peguam itu berkata, terdapat laporan dari media asing bahawa Xavier Andre Justo (bekas pegawai PetroSaudi International Ltd) telah menyerahkan kira-kira 237,000 dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mungkin relevan kepada pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Sri Ram berkata beliau tidak pernah dimaklumkan atau mempunyai maklumat berkaitan perkara itu.

Berhubung empat tuduhan rasuah, Najib, 66, didakwa melakukan kesalahan itu di No. 55, di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) undang-undang yang sama.

Dia menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan wang haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Hakim Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; sepanjang bulan September dan Oktober kecuali hari Jumaat; dan dua minggu pertama pada bulan November untuk mendengar perbicaraan kes 1MDB Najib.

Awal minggu ini (Isnin), hakim itu juga telah menangguhkan perbicaraan kes itu, yang dijadualkan bermula pada 19 Ogos hingga Isnin depan.

– BERNAMA


Pengarang :