Shaariibuu Setev bersama keluarganya. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Mahkamah tetapkan 4 September untuk peguam dalam saman keluarga Altantuya

PUTRAJAYA, 22 OGOS: Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 4 September untuk para peguam yang mewakili kerajaan dan keluarga model warga Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu, dalam satu kes saman untuk menangani isu liabiliti vikarius secara lebih lanjut.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata pihak-pihak dalam saman itu telah bersetuju dengan tarikh itu untuk menyambung pendengaran.

Yang turut bersidang bersama beliau ialah hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Nallini Pathmanathan.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Altantuya memberitahu pemberita bahawa mahkamah mahu para peguam menangani isu perundangan berkaitan dengan liabiliti vikarius (liabiliti ganti rugi) oleh kerajaan.

Pada Selasa, mahkamah mendengar permohonan kerajaan untuk memohon kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan mengembalikannya semula (kerajaan) sebagai defendan dalam saman yang difailkan oleh keluarga Altantuya dan menangguhkan perkara itu ke hari ini.

Kerajaan merumuskan empat persoalan undang-undang untuk ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan termasuk persoalan sama ada kerajaan mempunyai liabiliti untuk membayar ganti rugi terhadap perbuatan yang melanggar undang-undang iaitu membunuh orang, yang dilakukan kakitangannya.

Shaariibuu Setev, isterinya, Altantsetseg Sanjaa dan dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman tersebut pada 4 Jun 2007, dengan mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi.

Mereka menamakan dua pegawai polis iaitu Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan-defendan dalam saman itu.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, keluarga itu mendakwa terdapat konspirasi dalam pembunuhan Altantuya dan mereka menuntut ganti rugi termasuk tuntutan pergantungan.

Abdul Razak didakwa telah berkonspirasi dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya, 28, pada 2006, tetapi dia telah dibebaskan daripada tuduhan pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri, manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada tuduhan tetapi pembebasan mereka dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015, ekoran rayuan yang difailkan oleh pihak pendakwaan.

Pada 23 Ogos, 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman itu tetapi Mahkamah Rayuan menterbalikkan keputusan itu pada 14 Mac, tahun lepas dengan mengembalikan semula kerajaan sebagai pihak dalam saman itu.

Sepasukan peguam kanan persekutuan, diketuai Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, mewakili kerajaan.

– BERNAMA


Pengarang :