AGENDANASIONAL

Malaysia catat lebihan dagangan RM10.26 bilion pada Jun

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM10.26 bilion pada Jun iaitu 71 peratus lebih tinggi berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya dan merupakan lebihan dagangan bagi bulan ke-260 berturut-turut sejak November 1997.

“Pada asas bulan ke bulan (m-o-m), lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 13.1 peratus, manakala jumlah dagangan, eksport dan import masing-masing merosot sebanyak 10.8 peratus, 9.5 peratus dan 12.2 peratus,” kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan.

Bagaimanapun, dagangan Malaysia pada Jun menguncup sebanyak enam peratus daripada bulan yang sama pada 2018 kepada RM142.08 bilion.

Menurut MITI, eksport menurun sebanyak 3.1 peratus kepada RM76.17 bilion, dengan import 9.2 peratus lebih rendah pada RM65.91 bilion.

Katanya, dagangan lebih rendah dicatatkan dengan China, Hong Kong, Thailand, Singapura dan Jepun.

Sebaliknya, dagangan lebih tinggi dicatatkan dengan India, Filipina dan Amerika Syarikat.

Bagi tempoh enam bulan 1019, jumlah dagangan merosot sebanyak satu peratus kepada RM895.95 bilion berbanding bagi tempoh sama pada 2018, manakala eksport turun 0.2 peratus kepada RM481.53 bilion dan import susut sebanyak 1.8 peratus kepada RM414.42 bilion.

Bagi suku kedua sahaja, dagangan adalah 0.4 peratus lebih rendah pada RM460.78 bilion manakala import turun 1.2 peratus kepada RM215.32 bilion, dan sebaliknya, eksport meningkat 0.2 peratus kepada RM245.46 bilion.

MITI berkata, eksport barangan pembuatan pada Jun, yang menyumbang 83.7 peratus kepada jumlah eksport, susut lima peratus kepada RM63.79 bilion, terkesan oleh eksport lebih rendah produk elektrik dan elektronik (E&E), pengeluaran logam, jentera, peralatan dan alat ganti, produk getah dan produk kayu.

Eksport barangan pertanian (6.3 peratus saham) merosot sebanyak 0.8 peratus kepada RM4.82 bilion walaupun peningkatan dalam eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, terutamanya minyak sawit, yang meningkat 7.9 peratus kepada RM2.83 bilion berikutan jumlah yang lebih tinggi.

Bagi eksport utama pada bulan Jun, produk elektrik dan elektronik (E&E) bernilai RM28.08 bilion merangkumi 36.9 peratus daripada jumlah eksport, peningkatan enam peratus dari Jun 2018.

Produk petroleum pada RM6.10 bilion dan lapan peratus daripada jumlah eksport, menurun 2.4 peratus.

Bahan kimia dan produk kimia mencatatkan RM4.57 bilion atau enam peratus daripada jumlah eksport, peningkatan 1.3 peratus dan pembuatan logam mencatatkan RM3.37 bilion atau 4.4 peratus daripada jumlah eksport, menurun sebanyak 15.7 peratus.

Berhubung prestasi dagangan dengan pasaran utama, perdagangan Malaysia dengan ASEAN pada Jun menyumbang 26.5 peratus daripada jumlah perdagangan negara dan susut 5.5 peratus tahun ke tahun kepada RM37.65 bilion.

Eksport ke ASEAN menurun 0.2 peratus kepada RM21.78 bilion berikutan pengurangan eksport E&E, produk petroleum, peralatan pengangkutan dan makanan yang diproses.

Import daripada ASEAN menurun 11.9 peratus kepada RM15.87 bilion.

Pada Jun, perdagangan dengan China yang merangkumi 16.5 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia atau RM23.51 bilion, menyaksikan penurunan 12.4 peratus tahun ke tahun.

Eksport berjumlah RM10.07 bilion, berkurangan sebanyak 12 peratus disebabkan oleh penurunan eksport produk E&E, dan pembuatan logam serta produk petroleum.

Import daripada China menguncup 12.6 peratus kepada RM13.44 bilion.

Jumlah perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang mencakupi 9.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Jun, turun sebanyak 2.9 peratus tahun ke tahun kepada RM14.12 bilion.

Eksport meningkat sebanyak satu peratus kepada RM7.74 bilion, disokong oleh eksport produk petroleum yang lebih tinggi dan produk pembuatan berasaskan minyak sawit.

Perdagangan dengan Amerika Syarikat pada bulan Jun berkembang 5.8 peratus tahun ke tahun kepada RM12.8 bilion, yang menyumbang sembilan peratus daripada jumlah dagangan Malaysia. Eksport mencatatkan 8.8 peratus kepada RM7.65 bilion dan import naik 1.7 peratus kepada RM5.16 bilion. – BERNAMA


Pengarang :