AGENDANASIONAL

Malaysia dijangka terima aliran pelaburan sihat syarikat China

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Malaysia dijangka menarik aliran pelaburan sihat daripada syarikat China pada separuh kedua tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

“Saya baru-baru ini kembali daripada misi pelaburan ke Shenzhen dan Guangzhou bersama dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dan kami telah melihat minat yang tinggi dalam kalangan syarikat-syarikat yang kami temui semasa misi itu.

“Saya optimistik bahawa kelulusan pelaburan untuk syarikat-syarikat China pada separuh kedua tahun ini akan meningkat,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahanan (MoU) antara Packtica Sdn Bhd dan Shenzhen Qianhai Quantum Cloud Code Technology Co Ltd yang berpangkalan di China, di sini hari ini.

Beliau berkata, pelabur China berminat datang ke Malaysia atas pelbagai sebab, termasuk keadaan pelaburan di negara ini dan kedudukannya sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.

“Mereka juga telah menunjukkan minat untuk mempelbagaikan lokasi kemudahan mereka dalam negara ini disebabkan oleh perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berlarutan,” jelasnya.

Pada separuh pertama 2019, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM92 bilion dalam perkhidmatan pembuatan dan sektor utama, peningkatan 7.6 peratus berbanding RM85.5 bilion yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sumber pelaburan asing yang utama ialah Amerika Syarikat dengan pelaburan sebanyak RM11.7 bilion, diikuti oleh China (RM4.8 bilion), Singapura (RM3.1 bilion) dan Jepun (RM2.1 bilion).

Ong berkata merupakan perkara biasa untuk sama ada China atau AS menduduki tempat pertama atau kedua sebagai sumber pelaburan Malaysia.

“Saya rasa ia bagus untuk kita mempelbagaikan sumber pelaburan, oleh itu kita mempunyai pelaburan yang datang daripada sektor yang berbeza… ini sesuatu yang dialu-alukan,” katanya.

Sementara itu, syarikat percetakan keselamatan Packtica telah menandatangani MoU dengan Shenzhen Qianhai Quantum untuk pengedaran produk akhir dan pemindahan teknologi di Asia Tenggara. Packtica akan memanfaatkan teknologi rakan kongsinya dalam usaha untuk menyediakan penyelesaian yang menyeluruh kepada pelanggannya.

Pengasas dan Pengarah Urusan Packtica Bryant Kooh berkata perkhidmatan dan produk yang boleh diubah suai mempunyai kecekapan yang tinggi dan boleh digunakan oleh semua segmen pasaran, khususnya pengesahan dan perlindungan produk, ketulenan, pengesanan dan mengenal pasti aktiviti penipuan seperti pemalsuan, import selari serta lambakan harga.

“Kami telah menghasilkan lebih daripada 30 juta keping label kod QR (tindak balas segera) dan label keselamatan tinggi bagi memastikan pelanggan menggunakan produk yang tulen.

“Produk kami memberikan kepuasan yang tinggi dan sangat dihargai oleh pelanggan baharu dan yang lama kerana telah meningkatan jualan dan keuntungan mereka, ekuiti jenama dan kesetiaan pelanggan,” katanya.

Kooh menyatakan bahawa selepas mencapai maklum balas positif, syarikat itu akan membuka cawangan di seluruh negara ASEAN dan akan memulakan proses tawaran awam awal dalam tempoh lima tahun, dengan aktiviti tidak terhad kepada percetakan keselamatan tetapi juga dalam sektor teknologi maklumat dan data.

– BERNAMA


Pengarang :