AGENDANASIONAL

Malaysia serius perangi isu pemerdagangan manusia

KUALA LUMPUR, 5 OGOS : Malaysia kekal berdiri teguh dalam usahanya memerangi isu pemerdagangan manusia dan pendirian ini dibuktikan dengan penurunan jumlah mangsa pemerdagangan di negara ini sejak beberapa tahun lepas.

Sehubungan itu juga, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun kerajaan mengetahui hakikat bahawa jenayah kejam ini tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata, namun ia tidak akan berlembut dalam memerangi jenayah itu dengan menggunakan undang-undang.

Para pegawai penguatkuasa undang-undang tempatan juga diingatkan agar terus berdiri teguh dalam melaksanakan tugas mengikut lunas undang-undang, katanya pada perasmian Persidangan Anti-Pemerdagangan Manusia Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

“Memandangkan pemerdagangan manusia juga jenayah merentas sempadan yang membabitkan perundangan lain, kerajaan Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara jiran untuk mengesan, mengawasi dan memberkas penyeludup,” kata Muhyiddin.

Menteri berkenaan menjelaskan bahawa Majlis Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Pendatang (Mapo), yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri, telah melaksanakan banyak penambahbaikan ke arah membendung penyeludupan manusia.

Beliau berkata, ini dibuktikan dengan pengurangan jumlah mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia sejak beberapa tahun lepas, seperti yang dilaporkan oleh Mapo.

Mapo mencatatkan bahawa seramai 543 mangsa pemerdagangan manusia ditempatkan di rumah perlindungan pada separuh pertama 2019 berbanding 1,474 mangsa pada 2018 dan 2,945 pada 2017, kata Muhyiddin.

“Dengan statistik kami menunjukkan satu kejayaan, kami akan terus memberi tumpuan terhadap penguatkuasaan, pendakwaan, kawalan dan perlindungan ke atas mangsa penyeludupan,” katanya pada majlis itu sempena Hari Memerangi Pemerdagangan Manusia Sedunia pada 30 Julai.

Menteri berkenaan menjelaskan bahawa ini jelas dimanifesto dengan pelantikan pendakwa dan penguatkuasa khas di semua negeri.

Sebagai tambahan, sebuah mahkamah khas bagi mengendalikan kes penyeludupan dan satu pasukan petugas pelbagai disiplin ditubuhkan bagi memastikan perbicaraan dan rangka masa bagi menyelesaikan kes pemerdagangan manusia dapat dipercepatkan.

Dengan menekankan bahawa usaha memerangi penyeludupan manusia sebagai agenda penting negara, Muhyiddin berkata, kerajaan memandang penyeludupan manusia sebagai isu hak asasi manusia selain satu jenayah kejam.

“Ia satu kesalahan yang serius dan satu pencabulan hak asasi manusia. Tujuan asalnya tidak lain untuk mengeksploitasi hak asasi manusia bagi kepentingan sendiri yang termasuk eksploitasi seksual dan buruh paksaan.

“Mudah kata, ia satu perhambaan moden,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan bahawa integriti komuniti perniagaan, pegawai kerajaan dan rakyat Malaysia penting dalam memerangi jenayah itu.

“Kita perlu ingat bahawa jenayah seumpama akan berterusan sekiranya komuniti perniagaan terus mewujudkan permintaan bagi mendapatkan orang yang diseludup dan apabila para pegawai awam menutup mata dalam hal ini,” katanya.

Beliau menggesa agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat dan institusi antarabangsa mengukuhkan kerjasama dalam memerangi penyeludupan manusia kerana usaha itu hanya akan berjaya sekiranya mereka bertindak secara bersama. -BERNAMA


Pengarang :