BERITA UTAMA

Malaysia tetap teruskan projek kereta terbang

PETALING JAYA, 28 OGOS: Malaysia tetap dengan pendiriannya berhubung projek kereta terbang pertamanya, walaupun sekalipun dikritik pelbagai pihak.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ia termasuk kritikan pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Profesor Phillip Alston, baru-baru ini, .

“Kita terbuka kepada mana-mana pendapat untuk membangunkan projek itu. PBB mungkin punya pandangannya sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat syarikat pembekal solution ICT berasaskan sekuriti, Datasonic Group Bhd di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Alston berhubung projek itu bahawa ia tidak praktikal dilaksanakan di Malaysia, dengan alasan negara ini sering terdedah kepada ribut dan kenderaan itu akan menggunakan terlalu banyak bahan bakar fossil.

Alston dilaporkan berkata projek kereta itu membazirkan sumber dan masa bagi Malaysia yang sepatutnya membuat persediaan bagi menghadapi kesan perubahan iklim yang kini mula terasa.

“Projek ini adalah inisiatif swasta. Jika anda lihat pada seluruh eko sistem industri itu sendiri, saiznya adalah kira-kira USD500 bilion seantero dunia, ini industri besar yang kita harus terlibat dan sokong,” kata Mohd Redzuan.

Prototaip kereta terbang itu sedang didirikan oleh sebuah syarikat Malaysia di Jepun, dan kerja membina kereta berkenaan kini 85 peratus siap.

-BERNAMA


Pengarang :