AGENDAGLOBAL

Malindo lancar laluan KL-Denpasar (Bali)-Sydney

SYNDEY, 18 OGOS: Malindo Air telah melengkapkan laluan di Australia dengan pelancaran laluan Kuala Lumpur-Denpasar (Bali)-Sydney.

Sydney merupakan destinasi bandar utama Australia kelima syarikat penerbangan itu selepas Perth, Brisbane, Melbourne dan Adelaide.

Ketua Pegawai Eksekutif, Chandran Rama Muthy berkata, syarikat penerbangan itu bersedia untuk meningkatkan penerbangannya ke Sydney daripada sekali sehari kepada dua penerbangan sehari pada musim puncak untuk menampung permintaan yang meningkat daripada penumpang.

“Jika anda tidak ke Sydney, anda terlepas kawasan penting di Australia. Misalnya, Perth mempunyai jumlah penduduk seramai dua juta, manakala Sydney mempunyai enam juta penduduk.

“Ini merupakan pencapaian yang baik bagi Malindo, dan saya percaya Sydney merupakan lokasi akhir dalam laluan syarikat penerbangan itu bagi bandar-bandar metro di Australia,” katanya kepada pemberita Malaysia di luar penerbangan pertama Kuala Lumpur-Denpasar (Bali)-Sydney pada Khamis lepas.

Chandran berkata, trafik penumpang udara Malindo dijangka meningkat dengan tambahan terkini kepada rangkaian penerbangannya.

“Malindo pada masa ini melakukan penerbangan ke 17 negara di rantau Asia Selatan dan Asia Pasifik, dan dengan laluan tambahan itu, kami menjangka menyaksikan pertumbuhan dalam trafik penumpang,” katanya, sambil menambah syarikat penerbangan itu menjangka dapat menarik 100,000 penumpang setahun untuk penerbangan Sydney.

Mengenai masa depan, syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk membawa seramai tujuh juta penumpang pada tahun ini, dan merancang untuk melancarkan penerbangannya ke Da Nang, Vietnam pada Oktober ini untuk menampung permintaan, terutamanya pada musim cuti pada suku akhir 2019.

Sehingga Mac 2019, Malindo mempunyai 41 pesawat, dan merancang untuk membeli beberapa lagi pesawat 737-800 pada separuh kedua tahun ini.

– BERNAMA


Pengarang :