Penyerahan mesin dan peralatan kepada penerima ketika Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Program Blueprint Pembasmi Kemiskinan Negeri Selangor Tahun 2019 bagi Daerah Sepang di Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil Sepang pada 13 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Manfaat sebaiknya bantuan kerajaan beri – Ganabatirau

DENGKIL, 13 OGOS: EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau mengingatkan penerima bantuan peralatan mesin bagi Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan untuk menggunakan kesemua barangan yang diberi dengan sebaiknya.

Beliau menegaskan, ia kerana pembelian peralatan termasuk pelbagai jenis mesin itu adalah hasil dari wang rakyat.

“Boleh jadi ‘haram’ jika anda tidak menggunakannya, apatah lagi pemimpin kawasan termasuk ketua kampung dan pengurusan di luar sana bertungkus-lumus untuk meluluskan bantuan anda, tetapi akhirnya ia langsung tidak digunakan.

Penyerahan mesin dan peralatan kepada penerima ketika Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Program Blueprint Pembasmi Kemiskinan Negeri Selangor Tahun 2019 bagi Daerah Sepang di Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil Sepang pada 13 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

“Gunakalah ia sebaiknya, hargailah pemberian rakyat ini kepada anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Bagi Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Sepang 2019 bertempat di Dewan Orang Ramai Dengkil, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah, ADN Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah dan Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi.

Pada program berkenaan, seramai 73 penduduk Sepang menerima bantuan peralatan antaranya mesin jahit, peti ais, dapur memasak dan mesin pemerah santan yang kesemuanya bernilai RM301,250.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan miskin dan berpendapatan rendah menerusi projek ekonomi yang berdaya maju dan berpotensi untuk berkembang.

Kerajaan Selangor mahu meningkatkan pendapatan kumpulan sasar dengan menyalurkan bantuan berupa peralatan atau mesin yang diperlukan berdasarkan perusahaan atau perniagaan yang sedang dijalankan.


Pengarang :