SELANGOR

Mangsa ribut Sabak Bernam reda sambut Aidiladha di pusat pemindahan

SABAK BERNAM, 10 OGOS: Harapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga musnah apabila rumah mereka rosak teruk ekoran kejadian ribut yang berlaku di sini malam semalam.

Mangsa ribut, Zailah Rahmat, 52, menyifatkan kejadian itu sebagai luar biasa dan kali pertama berlaku sejak 22 tahun beliau menetap di kampung Desa Kasih, di sini.

Katanya, ketika kejadian itu berlaku dia bersama 14 lagi ahli keluarga yang terdiri daripada suami, anak dan cucu sedang nyenyak tidur.

“Saya terkejut selepas bunyi bumbung rumah tercabut dan hujan turun sangat lebat. Lebih merisaukan, anak saya yang sedang berpantang 10 hari.

“Tanpa berlengah, saya mengejutkan semua anak dan cucu untuk terus keluar ke bahagian belakang rumah.

“Disebabkan itu, cucu saya luka pada bahagian muka ekoran terkena kayu ketika kami tarik dia,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di pusat pemindahan mangsa ribut Desa Kasih, di sini petang tadi.

Zailah berkata, ekoran rasa takut yang mendalam, suaminya sempat melaungkan azan ketika keluarganya berlindung menyelamatkan diri.

“Memang takut sangat ketika itu, pelbagai benda bermain dalam fikiran ketika itu. Walaupun berlaku sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha, namun saya bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa dan saya reda dengan nasib yang menimpa kami ,” katanya.

Pusat pemindahan itu menempatkan Zailah bersama 14 ahli keluarganya sahaja, manakala mangsa lain difahamkan menumpang di rumah saudara mara.

Dalam kejadian ribut kira-kira jam 1 pagi tadi, 508 buah rumah di Bagan Nakhoda Omar, Sabak, Pancang Bedena, Sungai Panjang dan Pasir Panjang rosak teruk.

Kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di Sabak Bernam dan Kuala Selangor tengah malam hingga awal pagi tadi berkemungkinan ada kaitan dengan taufan Lekima yang melanda Taiwan.


Pengarang :