BERITA UTAMA

MARBA kumpul penternak arnab dari seluruh negara

CYBERJAYA, 5 OGOS: Persatuan Penternak Arnab Malaysia (MARBA) mengumpulkan hampir 50 penternak dari luar negara termasuk China, Amerika Syarikat, Vietnam, Indonesia dan Filipina bagi Persidangan Antarabangsa Pengeluaran Arnab Dalam Iklim Tropika.

Timbalan Presidennya, Aisyaturidha Abdullah berkata, persidangan kali pertama itu bertujuan mendedahkan peserta khususnya penternak berhubung inovasi dan teknologi terkini dalam industri penternakan arnab.

Katanya, penternakan arnab masih luas untuk diterokai dan mempunyai potensi besar jika diusahakan.

“MARBA mahu mengangkat industri penternakan arnab sebaris dengan penternakan haiwan lain seperti ruminan dan unggas.

“Jadi, melalui persidangan ini ia menyediakan landasan dan jaringan kolaborasi antara agensi kerajaan berkaitan, penggiat industri serta penyelidik juga membentuk ‘smart partnership’ supaya dapat memberi manfaat kepada industri penternakan arnab di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian persidangan terbabit bertemakan Arnab Sebagai Ternakan Masa Depan Untuk Pembangunan Mampan di Tamarind Square, di sini yang turut membentangkan 20 kertas kajian.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dato’ Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam yang turut merasmikan persidangan selama dua hari itu.

Pada masa sama, Aisyaturidha berkata, keadaan dunia semasa menunjukkan berlakunya perkembangan penternakan arnab di beberapa negara Asia.

Katanya, walaupun diternak pada skala mikro, namun ia mula beralih ke arah pengkomersialan seperti yang berlaku di Indonesia dan Vietnam.

“Oleh sebab itu, Malaysia juga perlu mengambil peluang ini dan mula bergerak dengan lebih efisien.

“Kadar pembiakan haiwan ruminan seperti kambing, lembu, kerbau yang perlahan dan ancaman dari virus Avian Influenza dalam ayam boleh dijadikan faktor untuk mencari alternatif lain bagi penghasilan daging.

“Arnab mempunyai sumber protein dan mampu memenuhi keperluan itu,” katanya.


Pengarang :