– Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Masters Eropah Omega: Gavin gegar kelompok bintang utama

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Pemain profesional negara, Gavin Kyle Green mencuri tumpuan dalam kalangan barisan bintang dunia apabila muncul pendahulu pusingan kedua Kejohanan Golf Crans-sur-Sierre di Crans Monta, Switzerland, Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Kehadiran bintang-bintang tersohor dunia seperi jaguh Ireland Utara, Rory Mcllroy, yang juga pemain nombor dua dunia, tidak menggugat semangat anak muda Malaysia itu untuk merakam enam di bawah par 64 untuk mendahului dengan satu pukulan.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang berusaha untuk mencipta nama pada Jelajah Eropah, mengumpul jumlah 11 di bawah par 129 pukulan dengan meninggalkan lima lagi pemain termasuk Mcllroy berkongsi kedudukan tempat kedua dengan jumlah 130 pukulan.

Selain Mcllroy, empat lagi yang ketinggalan satu pukulan dengan Gavin ialah Matthias Schwab dari Australia, Andres Romero (Argentina), Wade Ormsby (Australia) dan pemain nombor 13 dunia, Tommy Fleetwood dari England.

Kejohanan yang berlangsung di kelab golf berlatar belakangkan pergunungan Alps Swiss dan terletak 1,500 meter dari aras laut itu menawarkan hadiah wang tunai €2.5 juta (RM11.572 juta).

“Pada mulanya sedikit silap langkah tetapi kemudian lancar dan sengit. Saya bermain dengan baik dengan melakukan pukulan ke green serta beberapa pukulan putt. Saya cuba bermain dengan sebaik mungkin.

“Pemandangan dan suasana di lapangan cukup indah dan pernah beraksi beberapa kali di sini. Saya sudah biasa dengan kawasan altitud tinggi tetapi apabila cuaca semakin sejuk, keadaan menjadi sedikit rumit,” katanya dipetik dalam laman web Asia Tour, www.asiantour.com.

Pendahulu Pusingan Kedua:

129 – GAVIN KYLE GREEN (MAS) 65-64

130 – Matthias Schwab (AUT) 63-67; Wade Ormsby (AUS) 66-64; Rory McIlroy (NIR) 67-63; Tommy Fleetwood (ENG) 65-65; Andres Romero (ARG) 69-61

132 – Hideto Tanihara (JPN) 66-66; Lorenzo Gagli (ITA) 64-68

133 – Adri Arnaus (ESP) 66-67; Miguel Angrel Jimenez (ESP) 67-66; Renato Paratore (ITA) 67-66

134 – James Morrison (ENG) 67-67; Thomas Pieters (BEL) 67-67; Christiaan Bezuidenhout (RSA) 67-67; Sebastian Soderberg (SWE) 64-70; Erik Van Rooyen (RSA) 65-69; Mikko Korhonen (FIN) 64-70; Sergio Garcia (ESP) 66-68; Lucas Bjerregaard (DEN) 66-68.

– BERNAMA


Pengarang :