Gambar Hiasan
AGENDANASIONAL

Mayat lelaki terjatuh dari bot ketika ribut dijumpai

ALOR SETAR, 12 OGOS: Mayat seorang lelaki yang disyaki terjatuh dari bot fiber semasa cuaca buruk dan laut bergelora ketika ribut Jumaat lepas di sekitar perairan Titi Tok Arab, Jerlun, dijumpai semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, mayat Azimat Hassan, 62, ditemui terdampar berhampiran kawasan pantai oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang melakukan pencarian di kawasan tersebut pada pukul 6.25 petang.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Operasi semalam turut dibantu pesawat udara milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang membuat pencarian dari udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi yang diselaraskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Kedah itu turut melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, PDRM dan RELA.

“Seramai 40 nelayan setempat bersama 27 bot nelayan turut membantu dalam usaha mencari nelayan yang dilaporkan hilang itu,” katanya.

Jumaat lepas, Maritim Malaysia Kuala Kedah menerima maklumat daripada anak mangsa yang memaklumkan bapanya disyaki terjatuh dari bot fiber semasa keadaan cuaca buruk dan laut bergelora berikutan kejadian ribut yang melanda beberapa daerah di Kedah.

-BERNAMA


Pengarang :