Anggota polis dilihat berkawal di hadapan pintu masuk Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar yang menempatkan mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Mayat Nora Anne sudah dituntut keluarga

SEREMBAN, 17 OGOS: Mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, malam tadi dituntut oleh keluarganya untuk dibawa pulang.

Mayat Nora Anne dibawa keluar pada pukul 12.42 malam daripada Jabatan Perubatan Foresik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban selepas semua urusan dokumentasi diselesaikan.

Ibu bapa remaja itu, Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin bagaimana pun tidak kelihatan di perkarangan jabatan berkenaan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

“Saya dimaklumkan pegawai hospital bahawa mayat baru sahaja dituntut. Difahamkan mayat dibawa ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),” katanya.

Van yang membawa mayat remaja itu tiba di perkarangan jabatan itu pada pukul 12.38 malam diiringi beberapa anggota polis.

Nora Anne bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapan itu pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat beliau ditemui pada Selesa lepas, iaitu selepas hilang selama 10 hari.

Laporan bedah siasat semalam mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

– BERNAMA


Pengarang :