Amirudin Shari (kiri) menyertai ibadah korban bersama kakitangan MBI ketika Majlis Sembelihan Lembu Korban di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, hari ini. Foto NADZIR KHAIRI/PEJABAT MENTERI BESAR
SELANGOR

MB agih daging korban kepada asnaf fakir dan miskin

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak lima ekor lembu dan lima ekor kambing dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, daging korban itu akan diagihkan kepada golongan fakir dan miskin di Projek Perumahan Rakyat sekitar Shah Alam dan Kelana Jaya yang sudah disenaraikan.

“Sebanyak lima ekor kambing adalah sumbangan peribadi saya, manakala lima ekor lembu pula daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Semoga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan golongan terbabit,” katanya kepada Media Selangor pada Majlis Sembelihan Lembu Qurban Bisnes Amal MBI, di sini.

Amirudin berkata, majlis yang pertama kali diadakan di kediamannya itu bakal dianjurkan pada setiap tahun membabitkan pelbagai agensi dengan kaedah gotong-royong.

“Melalui gotong-royong, ia dapat mengutuhkan lagi hubungan kekeluargaan terutama dalam kalangan peserta korban,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menjemput orang ramai untuk menghadiri Rumah Terbuka Aidiladha anjuran Kerajaan Negeri dan MBI, esok di kediaman rasminya, di sini.

Amirudin berkata, rumah terbuka yang bermula seawal 9 pagi sehingga 1 tengah hari itu terbuka kepada seluruh penduduk sekitar Shah Alam dan Selangor khususnya.

“Selalunya sambutan Rumah Terbuka Aidiladha kita anjurkan secara peribadi memandangkan jadual tugasan saya agak padat, namun kali ini ia terbuka kepada seluruh rakyat dan beberapa agensi turut diundang,” katanya.


Pengarang :