Amirudin Shari bersama kontinjen Majlis Bandaraya Shah Alam yang menjadi johan perbarisan kategori Pihak Berkuasa Tempatan pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Dekati, dengar suara anak muda jamin masa depan negara

SHAH ALAM, 31 OGOS: Anak muda pasca kemerdekaan seharusnya didampingi secara lebih dekat bagi mengetahui denyut nadi dan kemahuan mereka, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, keluh kesah anak muda juga perlu didengari memandangkan masa depan Selangor khasnya dan Malaysia amnya terletak di tangan golongan berkenaan.

“Perumahan untuk semua, gaji yang berkadaran, waktu kerja anjal dan kualiti hidup lebih baik antara perkara yang berlegar-legar dalam kotak fikiran anak muda saat ini.

“Selagi kita tidak berjaya menyediakan solusi untuk permasalahan mereka, kita akan dilihat gagal dalam mencermati masa hadapan Malaysia seluruhnya,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 Peringkat Negeri Selangor 2019 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, malam tadi.

Turut hadir, isterinya, Masdiana Mohamad, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor termasuk pimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor.

Pelancong Korea tidak melepaskan peluang menyaksikan perbarisan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, lebih 10,000 warga Lembah Klang membanjiri Dataran Kemerdekaan bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan, pada tahun ini.

Sambutan bermula sekitar jam 9.30 malam diraikan dengan suasana kemeriahan oleh masyarakat berbilang kaum dan agama.

Pengunjung yang hadir seawal jam 8 malam disajikan dengan persembahan dua selebriti terkenal tanah air, Syamel AF dan Ara Johari.

Kemuncak sambutan adalah laungan merdeka sebanyak tujuh kali oleh Amirudin diikuti orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama melaungkan ungkapan azimat itu.

Ratusan das tembakan bunga api pelbagai warna turut dilepaskan di langit dataran selama hampir 10 minit, diiringi lagu Tanggal 31 Ogos dan Jalur Gemilang.


Pengarang :