Dato’ Seri Amirudin Shari berswafoto bersama pengunjung pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Depani cabaran baharu dengan lebih berani

SHAH ALAM, 31 OGOS: Rakyat di negara ini perlu berani dalam mendepani cabaran baharu yang datang dalam bentuk berbeza, terutama selepas lebih enam dekad Malaysia mencapai nikmat kemerdekaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, antara cabaran perlu dihadapi masyarakat pasca merdeka adalah masalah polarisasi kaum, penyebaran berita palsu termasuk media sosial yang semakin menembusi kehidupan seharian.

Katanya, apa yang paling penting adalah untuk mempersiapkan rakyat dengan jiwa dan raga merdeka yang mampu berfikir di luar kotak bagi menghadapi tentangan zaman.

“Masa hadapan, masalah dan dugaannya pasti berbeza termasuk masalah automasi, Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) selain beberapa masalah belum terungkap lagi setakat ini.

“Justeru, hanya dengan semangat dirgahayu begini, kita mampu bangkit sebagai bangsa Malaysia yang hidup rukun, makmur lagi bermaruah.

“Ayuh kita bersama menghayati semangat ini sempena Hari Kemerdekaan ke-62. Moga kita dapat mengubah Malaysia menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 Peringkat Negeri Selangor 2019 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, malam tadi.

Amirudin Shari bersama tetamu kehormat dan aset dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir, isterinya, Masdiana Mohamad, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor termasuk pimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pemimpin Malaysia Baharu hari ini yang bermula sebagai tokoh anak muda pada 20 tahun dahulu pernah menjadi kayu ukur suara hati rakyat muda suatu masa masa dahulu.

“Namun, tidak dinafikan bahawa pembabitan anak muda hari ini, lebih-lebih lagi dengan pengupayaan #Undi18 agak terpencil, malahan berbeza dengan generasi sebelumnya.

“Demografi kita sudah berubah, manakala citarasa orang muda hanya mereka yang lebih mengetahui (dan) perubahan teknologi sangat drastik juga menjadikan ketidaktentuan menjadi satu-satunya perkara yang pasti.

“Semua ini diburukkan lagi dengan gejala berita palsu juga perubahan pola massa yang mendekati autokrasi populisme sehingga menjadikan politik hampir mustahil dianggap dengan mudah ahli politik masa kini,” katanya.


Pengarang :