Sesi dialog bersama Amirudin Shari ketika Majlis Temu Rapat Naib Canselor dan Pengurus Kanan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 28 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

MB: Gabung kepakaran IPT, kukuh kluster pendidikan

SHAH ALAM, 29 OGOS: Strategi menggabungkan kepakaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Selangor diyakini mampu memperkukuh dan memperhebatkan klusterisasi pendidikan di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kluster pendidikan itu bukan hanya tertumpu kemudahan infrastruktur semata-mata, bahkan kepakaran ilmu dan kemahiran dimiliki di sesebuah universiti akan digabungkan menjadi satu kelompok besar.

Katanya, ia sekali gus menjadi aset bernilai terhadap pembentukan negara, selain memacu asas pembangunan serta kemajuan di Selangor.

“Sudah pasti bukan aspek fizik, matematik, sains mahupun kejuruteraan sahaja, tetapi membabitkan kemahiran lain seperti sains sosial dengan hasrat menjadi sebuah negeri yang maju, moden dan terkini.

“Sejajar itu, universiti sepatutnya kembali kepada asas penting supaya aspek kemanusiaan dan ketamadunan yang sekian lama wujud di negeri ini tidak tertanggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Temu Rapat Naib Canselor dan Pengurusan Kanan Institusi Pengajian Tinggi bersama Dato’ Menteri Besar, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Datuk Haris Kasim, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman serta Ahli Dewan Negeri.

Pada masa sama, Amirudin berkata, titik keseimbangan itu diperlukan semua universiti termasuk kolej dan institusi kemahiran pada masa kini dalam mengimbangi kemajuan serta pembangunan, khususnya di Selangor.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri boleh memberi saranan dan pedoman untuk bersama-sama ke arah melahirkan Selangor sebagai negeri mampu huni serta indah didiami.

“Kalau digambarkan tentang universiti, saya akan membayangkan debat antara Plato dan Socrates yang digambarkan oleh Raphael Stanzas dalam lukisan iaitu di saat Plato menuju ke langit serta mahu menyatukan dewa dan langit.

“Pada masa sama, Socrates bersama anak buahnya menunjukkan ke bumi bahawa masih terdapat urusan duniawi yang harus diselesaikan,” katanya.


Pengarang :