Amiruddin Shari bersama pegawai kerajaan dan tetamu pada sesi Dialog Bajet Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 27 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Kita banyak ‘beri muka’ kepada pendatang asing

SHAH ALAM, 27 OGOS: Pihak bertanggungjawab disifatkan terlalu banyak ‘memberi muka’ kepada pendatang asing khasnya Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sikap ‘memberi muka’ kepada pendatang asing ini akhirnya menyusahkan banyak pihak seperti peniaga tempatan dan pihak berkuasa sendiri.

“Kita mudah sangat benarkan, lihat keadaan di Pasar Borong Selayang, mula-mula hanya berniaga ikan dan sayur tetapi sekarang mereka memonopoli kawasan itu dan begitu juga warga Acheh dengan perniagaan runcit di merata tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Dialog Bajet 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Amirudin berkata, keadaan itu berlaku pada ketika undang-undang negara jelas tidak membenarkan warga asing menjalankan sebarang jenis perniagaan.

Katanya, isu terbabit semakin sukar diatasi berikutan tiada tindakan tegas diambil ketika di peringkat awal.

“Selain tidak mematuhi larangan berniaga, pendatang asing juga kerap terbabit dalam pelbagai aktiviti jenayah.

“Kegiatan mereka termasuk warga Afrika menjalankan sindiket penipuan juga berada di tahap membimbangkan,” katanya.


Pengarang :