Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan pemeriksaan kesihatan ketika Program Derma Darah & Saringan Kesihatan.
BERITA UTAMA

MB luang masa lakukan pemeriksaan kesihatan

BATU CAVES, 4 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari hari ini meluangkan masa melakukan pemeriksaan kesihatan bersempena Program Derma Darah dan Saringan di Dewan Siantan, Sungai Tua, di sini.

Beliau yang tiba sekitar jam 11.45 pagi turut melakukan pemeriksaan tekanan darah dan kandungan gula di kaunter saringan disediakan.

Menurutnya, program anjuran Persatuan Ajaran Sanmarkam ini dianjurkan buat pertama kali dan diharapkan menjadi acara tahunan di kawasan Sungai Tua.

“Program ini anjuran badan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan masyarakat India di kawasan Sungai Tua. Mereka anjurkan pemeriksaan kesihatan dan derma darah secara percuma.

“Program seperti ini memberi peluang untuk komuniti mendapatkan pemeriksaan kesihatan asas seperti tekanan darah, kandungan gula dan pemeriksaan lain,” katanya.

Amirudin berkata, program seperti ini digalakkan diadakan di lokaliti berhampiran penduduk supaya lebih ramai dapat melakukan pemeriksaan kesihatan.

Katanya, walaupun berskala kecil, ia juga seiring dengan Program 3W ‘Women, Welfare, Wellness’​ anjuran Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor​.​


Pengarang :