Amirudin Shari menyampaikan plak penghargaan kepada Fathi Aris Omar dalam Majlis Penghargaan Media Invest Selangor Berhad 2019 di Dorsett Grand Subang Hotel, Subang pada 21 Ogos 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Media main peranan penting pupuk perpaduan, kekal keamanan

SUBANG, 22 OGOS: Media massa memainkan peranan penting dalam usaha memupuk semangat perpaduan erat dan mengekalkan keamanan berterusan di kalangan rakyat, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri berharap supaya media memberi kerjasama dalam menyiarkan laporan yang positif, sahih dan seimbang serta menjaga sensitiviti dari pelbagai sudut keagamaan, bangsa, kaum serta ekonomi.

Katanya, beliau berpendapat media cetak, elektronik atau dalam talian telah banyak memberikan sumbangan dan impak positif dalam usaha mempromosikan pembangunan ekonomi kepada Malaysia amnya dan Selangor khasnya.

“Hubungan akrab dan saling memerlukan antara media dan Kerajaan Negeri hendaklah diteruskan walaupun kita mempunyai tanggungjawab berbeza tetapi kita mempunyai matlamat sama iaitu membangunkan sebuah negara makmur sejahtera.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa mengamalkan dasar terbuka untuk menerima cadangan daripada pihak media dalam memastikan pembangunan negeri ini terus dilaksanakan demi kemajuan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Penghargaan Media Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) 2019 di Dorsett Grand Subang Hotel di sini, malam tadi.

Hadir sama, EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Turut hadir hampir 200 pengamal media termasuk dari agensi Media Selangor, Radio Televisyen Malaysia (RTM), BERNAMA, Berita Harian, Harian Metro, Utusan Malaysia, Nanyang, The Star dan The Sun.

Pada majlis yang sama Media Selangor yang menaungi SelangorKini dan TV Selangor turut menerima Trofi Anugerah Khas bagi kategori Rakan Media Invest Selangor.

Trofi disampaikan Amirudin kepada Pengarang Kumpulan Media Selangor, Fathi Aris Omar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakan media telah banyak memberi bantuan dan sokongan kepada Kerajaan Negeri dan Invest Selangor sebagai pemudah cara dalam urusan pelaburan di Selangor.

“Peranan dan sumbangan media adalah penting serta amat diperlukan bagi menyebarkan maklumat dan berita terkini bukan sahaja di dalam negara bahkan ke seluruh dunia.

“Dalam Revolusi Industri 4.0, media memainkan peranan penting dalam memperkenalkan pelbagai media termasuk media baharu antaranya Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya,” katanya.


Pengarang :