BERITA UTAMASELANGOR

MB nafi pertemuan ADN Selangor babit politik

SHAH ALAM, 2 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menafikan perjumpaan diadakan bersama beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor malam tadi berkaitan politik.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah program membabitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Malah, katanya, beliau sendiri tidak hadir ke taklimat program berkenaan.

“Saya tiada sebab itu (perbincangan) antara Speaker dan lain-lain. Menteri KPKT ada beri taklimat mengenai kawasan terbabit.

“Kawasan saya belum termasuk dalam fasa satu itu. Ia membabitkan Dasar Komuniti atau Dasar Perumahan, saya kurang pasti,” katanya ketika ditemui di selepas perasmian ‘University Scholars Leadership Symposium’ kali ke 10 di sini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan pertemuan antara Amirudin bersama ADN Selangor beragama Islam berlangsung semalam.

Antara ADN yang hadir pada perjumpaan itu adalah Azmizan Zaman Huri dari Pelabuhan Klang; Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia); Adhif Syan Abdullah (Dengkil); Mohd Zawawi Ahmad Mughni (Sungai Kandis) dan Mohd Khairuddin Othman (Paya Jaras).

Terdahulu, kedudukan Amirudin sebagai Dato’ Menteri Besar mula diperkatakan selepas beliau dilihat lantang menyatakan sokongan kepada Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan beliau belum menerima sebarang surat dari Lembaga Disiplin KEADILAN.

“Tidak ada. Setakat ini saya belum terima apa-apa surat dari Lembaga Dispilin,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :