Amirudin Shari menyampaikan hadiah kepada pemenang keseluruhan pertandingan kemahiran Kor SISPA IPT sempena Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) Kali ke-10 Tahun 2019, Dewan Bankuet UPM Serdang pada 17 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB optimis universiti terus perhebat aktiviti kesukarelawan

SERDANG, 18 OGOS: Universiti dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diharap dapat memperhebatkan lagi aktiviti berbentuk kemasyarakatan serta kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, selain meningkatkan imej universiti ia sekali gus menjadikan orang ramai khususnya dapat merasai keberadaan dan kesiapsiagaan kesukarelawan.

Katanya, aktiviti sebegitu juga seharusnya berada dalam kalangan masyarakat kerana ia sebenarnya mampu menambah nilai positif sesebuah komuniti terbabit.

“Kebanyakan masalah terjadi apabila seseorang itu melepaskan tanggungjawab mereka kepada orang lain sedangkan perkara itu boleh ditangani sendiri.

“Sebagai contoh, kawalan penyakit seperti denggi boleh ditangani sekiranya masing-masing mengamalkan sikap kebertanggungjawaban dan pada masa sama mengamalkan sikap kesukarelawan untuk menangani masalah yang timbul.

“Malah, menerusi aktiviti sebegini di peringkat universiti saya lihat ia sesuatu yang amat bagus sebagai langkah untuk mendidik mereka dari awal jika berhadapan dengan apa sahaja bencana menimpa,” katanya.

Amirudin Shari berucap ketika Majlis Makan Malam Rasmi Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) Kali ke-10 Tahun 2019, Dewan Bankuet UPM Serdang pada 17 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Rasmi Sempena Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Kali ke-10 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Ketua Pesuruhjaya APM Malaysia, Datuk Roslan Wahab.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada 758 kadet Kor SISPA dari 20 Institut Pengajian Tinggi seluruh negara yang berjaya menamatkan latihan dan bakal ditauliahkan hari ini.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan. Ternyata Kor SISPA sebagai nilai tambah dalam membentuk sahsiah dan jati diri siswa-siswi sekalian serta ia adalah pilihan tepat.

“Justeru, saya berharap majlis pentauliahan ini dapat menyemarakkan lagi semangat kesukarelawan sekali gus menarik minat lebih ramai siswa-siswi menyertai Kor SISPA pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, beliau yakin anggota Kor SISPA mempunyai kelebihan berbanding siswa-siswi lain dan dengan pelbagai ilmu kemahiran dipelajari, bukan sahaja menjadikan mereka sebagai graduan ‘marketable’, tetapi mempunyai nilai tambah sangat berguna kepada masyarakat juga negara.

“Anggota Kor SISPA berupaya berfungsi dalam masa aman, memberi bantuan semasa peperangan dan bencana dengan mengambil segala apa jua langkah bagi menyelamat, melindungi serta mengurangkan kehilangan nyawa juga kerosakan harta benda penduduk awam.

“Selain itu, ilmu dan pengetahuan diperoleh semasa latihan merangkumi elemen kepimpinan, disiplin, kerja berpasukan serta jati diri menjadi pemimpin berjaya kepada keluarga, masyarakat juga negara pada masa hadapan,” katanya.


Pengarang :