AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Perpaduan, kemahiran diplomasi tunjang utama kekal harmoni

SHAH ALAM, 31 OGOS: Perpaduan dan kemahiran berdiplomasi tinggi menjadi tunjang utama bagi mengekalkan keharmonian yang sedia dinikmati masyarakat hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Amirudin Shari berkata, kestabilan juga akan kekal dinikmati sekiranya rakyat terus bersatu hati dan sebulat suara dalam menggapai cita-cita besar bangsa Malaysia.

Justeru katanya, kestabilan dan keharmonian yang dinikmati ketika ini wajar dipertahankan.

“Oleh itu, kita perlu mengabaikan suara yang mahu memecahbelahkan persekutuan ini dan dengan tegas menyatakan bahawa kita semua sama ada bumiputera Melayu, Sabah serta Sarawak termasuk Tionghua, India, Iban, Kadazan mahupun orang asal adalah rakyat Malaysia.

“Tidak perlu disebut lagi berkenaan kedudukan Bahasa Melayu dan agama Islam kerana kita semua generasi pasca-Merdeka yang setia serta menganggap semua perkara tersebut sudah selesai.

“Apa yang paling penting adalah bangsa ini bergerak ke hadapan untuk perkara yang lebih mendasar dalam menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melaungkan ungkapan keramat ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali tepat detik 12 tengah malam ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pada 30 Ogos 2019. – Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 Peringkat Negeri Selangor 2019, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, malam tadi.

Turut hadir, isterinya, Masdiana Mohamad, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor termasuk pimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memberi tabik hormat kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pada 30 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada masa sama, Amirudin turut mengingatkan rakyat untuk terus menghargai dan mengenang jasa serta pengorbanan diusahakan pejuang tanah air selama ini demi membebaskan negara tercinta daripada terus ditindas penjajah.

“Sumbangan dan jasa mereka (pejuang tanah air) dalam perang melawan Jepun serta peperangan gerila menentang komunis memang tidak dapat dinafikan.

“Begitu juga sejarah panjang penentangan putera-puteri tanah ini, seawal Dato’ Bahaman, Tok Janggut, dan lain-lain pejuang bangsa,” katanya.


Pengarang :