AGENDASUKANKINI

MB puji semangat pemain bola sepak muda

GOMBAK, 3 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memuji semangat kesukanan ditonjolkan pemain muda yang menyertai Kejohanan Bola Sepak bawah 12 Tahun Piala Yang Amat Berhormat (YAB) Amirudin Shari.

Amirudin ketika berucap berkata, kejohanan berprestij membabitkan 32 pasukan dari Selangor dan Pulau Pinang itu seharusnya diteruskan, sekali gus dapat melahirkan bintang bola sepak profesional pada masa depan.

“Bakat yang dicungkil harus diasuh dan dididik supaya dapat menjelmakan lagenda bola sepak negara seterusnya.

“Dengan wujudnya kejohanan seumpama ini, sudah pasti akan memberikan kesan yang cukup positif dalam pembangunan bola sepak Selangor dan Malaysia terutamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Bola Sepak Piala YAB Amirudin Shari di Kampung Melayu Wira Damai, Sungai Tua, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT), Khairul Syafiq Mohd Salleh berkata, kejohanan itu kali kedua dianjurkan selepas siri pertama pada 2016 bertujuan membangunkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

“Kami berharap kejohanan ini akan diteruskan pada tahun seterusnya bagi membolehkan penyambungan pembangunan bola sepak memandangkan Selangor adalah generasi bola sepak Malaysia,” katanya.

Menurut rekod, PeBT Majlis Perbandaran Selayang membina Kelab Bola Sepak Bintang Gombak bertujuan melahirkan bintang bola sepak profesional dari Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.

Sehingga kini, kelab itu mempunyai seramai 100 pemain berusia tujuh tahun sehingga 17 tahun.


Pengarang :