Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

MB rakam takziah pemergian tokoh agama terkenal Indonesia

SHAH ALAM, 7 OGOS : Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh agamawan terkenal dari Indonesia, KH Maimun Zubair.

Amirudin berkata, Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Mbah Moen itu meninggal dunia di Mekah pada usia 90 tahun ketika menunaikan ibadah haji.

“Umat Islam seluruh nusantara dikejutkan dengan pemergian Mbah Moen seorang tokoh agamawan yang disegani.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat. Al-Fatihah,” tulisnya di laman twitter, semalam.

Maimun Zubair merupakan seorang alim, dan juga penggerak bagi ilmu Fiqh. Allahyarham juga menjadi tempat rujukan ulama Indonesia dalam bidang berkenaan.

Turut bersedih dengan pemergian ulama terkenal itu ialah Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

Beliau menyifatkan pemergian Mbah Moen bukan kehilangan besar baginya dan keluarga besar Pondok Pesantren Al Anwar Rembang, Jawa Tengah sahaja, tetapi seluruh umat Islam di Indonesia.

“Semasa hidupnya yang panjang, Mbah Moen begitu karismatik, selalu jadi rujukan bagi umat Islam terutama dalam soal-soal fikih.

“Atas nama keluarga dan rakyat Indonesia, saya menyampaikan dukacita yang mendalam. Semoga Allah SWT memberinya tempat yang lapang di sisi-Nya, dan segenap keluarga yang ditinggalkan kiranya diberi kekuatan dan kesabaran. Amin Ya Rabbal Alamin,” tulisnya di Instagram.


Pengarang :