AGENDANASIONAL

MB: Saya tidak mahu dimaki 20 tahun akan datang

SHAH ALAM, 28 OGOS: Selangor boleh memberikan pelbagai inisiatif atau ‘gula-gula’ kepada rakyat, sekali gus menjadikan Kerajaan Negeri popular dalam sekelip mata.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah itu bakal menjadikan dirinya dan pentadbiran negeri hari ini sebagai kerajaan populis.

“Saya boleh jadi popular dengan menawarkan ratusan ringgit tetapi perlu ingat, ia akan memberi kesan tidak baik kepada hasil negeri, pada masa akan datang.

“Sudah tentu saya tidak mahu popular sekarang, jika tidak akan dimaki 20 tahun akan datang kerana gagal,” katanya ketika Sesi Bual Bicara ‘Lonjakan Kemakmuran Ekonomi Selangor’ bersama Menteri Besar Selangor di sebuah stesyen televisyen, malam tadi.

Pada 19 Ogos lalu, Amirudin ketika Sesi Townhall bersama Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan menegaskan Kerajaan Selangor tidak mahu menerapkan konsep ‘cash is king’ dalam kalangan rakyat.

“Konsep ‘cash is king’ adalah salah, situasi ini sama seperti keadaan yang berlaku kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Dia mampu beri semua orang duit kepada sesiapa sahaja, tetapi akhirnya kalah juga ketika pilihan raya. Oleh itu, saya tidak mahu kita melaksanakan tugas secara tidak jujur,” katanya


Pengarang :