Amirudin Shari (tengah) bersama Dato’ Teng Chang Khim (kiri) dan Dato’ Hasan Azhari (kanan) meneliti isi kandungan buku Celebrating 20 Golden Years Invest Selangor Berhad dalam Majlis Penghargaan Media Invest Selangor Berhad 2019 sempena Ulang Tahun ke-20 syarikat itu di Dorsett Grand Subang Hotel, Subang pada 21 Ogos 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Syabas, 20 tahun Invest Selangor

SUBANG, 22 OGOS : Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari merakamkan penghargaan kepada Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) sempena ulangtahun kali ke-20nya dengan catatan prestasi cemerlang syarikat berkenaan.

Katanya, sehingga kini Invest Selangor telah mencapai kejayaan bersejarah apabila prestasi pelaburan negeri pada tahun lalu adalah sangat baik.

“Syabas, 20 tahun Invest Selangor. Kejayaan prestasi pelaburan itu diperolehi bukan sahaja melebihi sasaran tetapi juga rekod tertinggi sejak 30 tahun lalu.

“Saya berharap Invest Selangor akan terus mempertingkatkan lagi usaha untuk menarik pelaburan ke negeri ini dan diharap berganding erat dengan media di dalam mempromosikan aktiviti berkaitan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Penghargaan Media Invest Selangor Berhad 2019 di Dorsett Grand Subang Hotel, malam tadi.

Amirudin Shari menyampaikan ucapan dalam Majlis Penghargaan Media Invest Selangor Berhad 2019 sempena Ulang Tahun ke-20 syarikat itu di Dorsett Grand Subang Hotel, Subang pada 21 Ogos 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Hadir sama EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Turut hadir, hampir 200 pengamal media termasuk dari agensi Media Selangor, Radio Televisyen Malaysia (RTM), BERNAMA, Berita Harian, Harian Metro, Utusan Malaysia, Nanyang, The Star dan The Sun.

Invest Selangor dahulunya dikenali sebagai SSIC Berhad adalah sebuah agensi hak milik penuh Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab sebagai pemudah cara dalam urusan berkaitan pelaburan, menyediakan maklumat, khidmat nasihat di negeri ini bagi pelaburan sedia ada dan yang berpotensi.

Amirudin berkata, Selangor sentiasa menjadi pilihan utama pelabur dari segi penempatan projek pelaburan mereka.

“Ia apabila negeri ini sekali lagi memperkukuhkan kedudukannya sebagai penjana ekonomi utama apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM323 billion pada tahun lalu, menyumbang kepada 23.7 peratus kepada KDNK negara,” katanya.


Pengarang :