AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB temani PM rai ulang tahun ke-21 KLIA

SHAH ALAM, 14 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir meraikan majlis sambutan ulang tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Tun Mahathir menzahirkan rasa bangga apabila menyaksikan ladang kelapa sawit bertukar wajah menjadi sebuah lapangan terbang yang begitu indah dan berupaya menjadi sebuah ikon.

“Ia adalah suatu keajaiban seni bina, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada mendiang Kisho Kurokawa, arkitek tersohor Jepun yang bertanggungjawab ke atas konsep ‘Lapangan Terbang di Dalam Hutan, Hutan di Dalam Lapangan Terbang’ KLIA.

“Pada mulanya tidak begitu, tetapi selepas 21 tahun, jelas ia adalah sebuah lapangan terbang dalam hutan dan hutan dalam lapangan terbang,” katanya.

Sementara itu, Amirudin dalam kenyataan berkata, ia adalah acara bersejarah kerana sambutan ulang tahun itu disertai lelaki hebat yang mengilhamkan KLIA, yang kini menjadi lapangan terbang paling ikonik dalam negara.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Tan Sri Zainun Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin.

KLIA adalah salah satu hab penerbangan terpenting di rantau Asia Tenggara selain Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Changi Singapura.

Lapangan terbang yang terletak di Sepang, Selangor itu dibina dengan kos mencecah AS$ 3.5 bilion dan kemudiannya dibuka secara rasmi, pada 27 Jun 1998.

Selain mampu menampung 35 juta penumpang setahun, KLIA juga berupaya memuatkan1.2 juta tan metrik kargo dalam fasa pembinaannya sekarang.

Lapangan terbang ini menduduki tempat yang ke-13 di dunia dari segi bilangan penumpang asing iaitu 24,129,748 penumpang sudah menggunakan lapangan terbang ini, pada 2006.

Pada tahun sama, lapangan terbang ini juga mengendalikan 677,446 tan metrik kargo untuk menduduki tempat ke-30 di dunia dari segi pengendalian kargo.


Pengarang :