Amirudin Shari mengibarkan Jalur Gemilang bersama masyarakat setempat dalam Program Merdeka @Komuniti Daerah Gombak 2019 di Padang Awam, Batu Caves, hari ini. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

MB: Tiada kompromi individu perlekeh bendera terbalik

GOMBAK, 25 OGOS: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba mengapi-apikan isu perkauman, termasuk pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, masyarakat perlu sentiasa menjaga kedaulatan negara dan tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mengganggu gugat keamanan negara.

“Pemasangan bendera Jalur Gemilang secara terbalik mungkin disebabkan kesilapan pemasang bendera bukan warganegara, tetapi kesilapan itu boleh diperbaiki.

“Namun, isunya sekarang apabila terdapat segelintir individu yang tularkan perkara terbabit, sekali gus cuba mengapi-apikannya sehingga tercetus isu perkauman seperti sekarang,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Merdeka @ Komuniti Peringkat Daerah Gombak di Padang Awam Batu Caves, di sini hari ini.

Pada masa sama, Amirudin turut mengesahkan terdapat beberapa kes membabitkan pemasangan bendera terbalik di Selangor, namun pihaknya menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Saya nasihatkan serahkan sahaja kes itu kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan berhentilah mengapi-apikan sesuatu perkara,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di beberapa premis di seluruh negara.

Susulan itu, pihak yang terbabit diminta mengemukakan surat tunjuk sebab.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau video dengan paparan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik.


Pengarang :