AGENDANASIONAL

MBM sokong sarapan percuma di sekolah

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan Program Sarapan Percuma (PSP) kepada murid sekolah rendah bermula tahun hadapan.

Naib presidennya, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz berkata, inisiatif itu dilihat sebagai serampang dua mata, bagi menggalakkan kehadiran murid ke sekolah dan dapat memastikan murid mendapatkan nutrisi terbaik, bagi tumbesaran dan galakan minda melalui sesi pembelajaran.

“Usaha itu turut membantu bukan sahaja golongan kurang berkemampuan luar bandar, malah golongan keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan di bandar juga mendapat manfaat.

“Kami beranggapan masih terdapat ramai dalam kalangan murid datang ke sekolah dalam keadaan lapar dan tidak bersarapan, kerana perlu membelanjakan wang mereka bagi pengangkutan ke sekolah, keperluan pembelajaran dan kelas, selain menyimpan dalam tabung simpanan pelajaran mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Sherhan berkata, program seperti itu pastinya meringankan beban ibu bapa yang tertekan dengan kos sara hidup tinggi terutama ibu bapa berpendapatan rendah mempunyai anak ramai.

Isnin lepas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020.

Kerajaan dijangka perlu membelanjakan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setahun, bergantung kepada menu sajian PSP dan sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi membincang secara terperinci peruntukan yang bakal digunakan bagi tujuan itu.

– BERNAMA


Pengarang :