PBTSELANGOR

MBPJ anjur Kejohanan Tenis Terbuka 14-18 Ogos ini

PETALING JAYA, 9 OGOS : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal menganjurkan Kejohanan Tenis Remaja Terbuka MBPJ-Milo pada 14 sehingga 18 Ogos ini.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, kejohanan yang memasuki edisi ke-30 itu akan diadakan di empat lokasi berbeza iaitu di Kompleks Sukan MBPJ (Kelana Jaya), Gelanggang Tenis SS 3/14 (Taman Sentosa, Kelana Jaya), Kompleks Sukan PKNS (Kelana Jaya), dan Kompleks Sukan Astaka Petaling Jaya.

“Kejohanan tenis ini terbahagi kepada empat acara membabitkan perseorangan lelaki perseorangan perempuan bagi kategori usia bawah 8,10,12,14 dan 16 tahun.

“Manakala, bagi acara regu lelaki dan regu perempuan kategori usia dipertandingkan adalah bawah 10, 12, 14, dan 16 tahun.

“Malah, kita jangkakan seramai 220 peserta yang akan menyertai kejohanan ini nanti,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohd Sayuthi berkata, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM7,620, medal dan barangan tajaan daripada Nestle Products Sdn Bhd (MILO) selaku penaja utama.

Katanya penaja lain pula terdiri daripada F&N Beverages Marketing Sdn Bhd (100 PLUS) dan Dunlop Srixon Sports Asia Sdn Bhd (DUNLOP).

“Kerjasama ini berjaya mencungkil ramai bakat baharu khususnya daripada peringkat akar umbi dalam program pembangunan sukan tenis remaja MBPJ yang dilaksanakan sejak tahun 1990.

“Peruntukan keseluruhan sebanyak RM12,620 ini turut mendapat sokongan daripada Majlis Sukan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Kejohanan Tenis Remaja Terbuka MBPJ-MILO 2019 anda boleh kunjungi laman sesawang selangortennis.org atau Facebook Selangor Tenis Associations dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.


Pengarang :