PBTSELANGOR

MBPJ nafi kutip derma terbit majalah rasmi

PETALING JAYA, 30 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menafikan pihaknya membuat kutipan derma bagi tujuan penerbitan sebuah majalah.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat MBPJ berkata, pihaknya juga tidak pernah melantik mana-mana individu bagi tujuan penerbitan majalah berkenaan yang diberi nama ‘Suara Penolong Pegawai Farmasi’.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu menerima aduan orang awam berhubung terdapat individu wanita berpakaian menyerupai uniform kakitangan MBPJ membuat kutipan derma tunai bagi tujuan penerbitan majalah tersebut.

“Ingin ditegaskan bahawa MBPJ tidak pernah terlibat dalam penerbitan majalah terbabit, malahan tidak sama sekali menjalankan aktiviti kutipan derma dan tidak pernah melantik mana-mana individu bagi tujuan tersebut.

“Sehubungan itu, MBPJ menyarankan orang awam supaya berhati-hati di atas aktiviti kutipan derma terbabit yang menggunakan nama PBT ini sebagai organisasi yang terlibat bagi tujuan penerbitan majalah tersebut,” katanya dalam kenyataan.


Pengarang :