MoU ditandatangani oleh Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd Rashidi Ruslan bersama rakan strategiknya di Hotel Blue Waze, baru-baru ini
PBTSELANGOR

MBSA-rakan strategik meterai MoU kukuh projek rendah karbon

SHAH ALAM, 20 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama rakan strategiknya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) ke arah pengukuhan projek rendah karbon di kawasan pentadbirannya.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, ia sejajar dengan pemilihan Shah Alam sebagai Asean SDGs Frontrunner Cities mewakili negara.

Katanya, ia adalah program pembangunan mampan di peringkat ASEAN yang dibiayai oleh Japan-Asean Integration Fund (JAIF), yang diuruskan oleh Institute For Global Environmental Strategies (IGES).

“Projek Bandar Rendah Karbon yang dilaksanakan di kawasan Pusat Bandar Seksyen 14 dilihat sangat berpotensi oleh Jepun seterusnya bersetuju untuk membiayai sebahagian perbelanjaan bagi memperluaskan kawasan liputan program Bandar Rendah Karbon.

“Pada 2019 kawasan Program Bandar Rendah Karbon Shah Alam diperluaskan ke Seksyen 1 (UiTM) dan Seksyen 5,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, pemilihan itu berdasarkan pencapaian cemerlang MBSA dalam Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (Murninets) dan Anugerah Kejiranan Hijau.

Katanya, pencapaian MBSA yang membanggakan di ‘International Greentech And Eco Products Exhibition And Conference Malaysia’ (IGEM) 2018 memperolehi Anugerah ‘Diamond Recognition’ dan diiktiraf sebagai pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia yang menggunakan ‘City Base Planing’.

Antara rakan strategiknya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Malaysian Institute Of Planners (MIP), Malaysia Investment Development Authority (MIDA), Sustainable Energy Authority Malaysia (SEDA), serta Malaysian Green Technology Corporation (MGTC).

“MBSA berharap dapat memperkasakan hubungan di antara kedua-duanya dan secara tidak langsung memberi impak dan perubahan yang komprehensif di dalam pertumbuhan ekonomi Shah Alam,” katanya.

 


Pengarang :