PBTSELANGOR

MDKL heret individu, syarikat ke mahkamah atas pelbagai kesalahan

BANTING, 22 OGOS: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengheret beberapa individu dan syarikat ke Mahkamah Majistret Telok Datok pada 15 Ogos lalu atas pelbagai kesalahan termasuk keengganan mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, bagi kes pertama, mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda kepada Ahmad Amirul Azlan sebanyak RM1500 atau lima hari penjara.

Katanya, kes kedua membabitkan Woo Hin Choi yang mewakili Syarikat Pengangkutan WHC Sdn Bhd dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1500 atau lima hari penjara.

“Kesemua mereka ini didapati bersalah di bawah Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah-Sarap (MDKL) 2007 kerana melakukan kesalahan dengan membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan atau di tempat awam oleh MDKL.

“Kedua-dua OKS sudah menjelaskan bayaran denda yang dikenakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengarah syarikat Chang Ang (M) Sdn Bhd, Lee Kok Tiong yang diwakili peguam turut didenda dan diberikan amaran keras oleh mahkamah ekoran melakukan kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah-Sarap (MDKL) 2007.

Sementara dalam pendakwaan berasingan, katanya, Muhammad Haizul Izzat Ahmad Azmi didapati bersalah dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM1000 atas kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil 7, Undang-Undang Kecil Iklan (MDKL) 2007 kerana mempamerkan iklan tanpa lesen.

“Mahkamah juga menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,200 atau lima hari penjara kepada Ang Keng Yao atas kesalahan meletakkan motosikal di laluan pejalan kaki sehingga menghalang orang awam.

“Sementara itu satu waran tangkap bertarikh 11 September 2019 juga dikeluarkan ke atas Noor Laila Narawa oleh mahkamah kerana tidak menghadirkan diri ketika kes disebut di mahkamah pada 15 Ogos lalu.

“Kedua-dua kesalahan ini dilakukan di bawah Seksyen 46 (1) (d) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya.

Dalam kenyataan sama, Mohamad Zain juga mengingatkan kepada semua pihak supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar dan mematuhi peraturan serta garis panduan ditetapkan pihak berkuasa.


Pengarang :