PBTSELANGOR

MDKS anjur kem cungkil kepimpinan belia wanita

SHAH ALAM, 22 OGOS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menganjurkan program Kem Motivasi Remaja MDKS 2019 di Teluk Nipah, Pulau Pangkor, baru-baru ini.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, program membabitkan 40 belia wanita lingkungan 19 hingga 21 tahun sekitar Kuala Selangor itu bertujuan mencungkil bakat kepemimpinan.

“Belia terutamanya wanita perlu diberikan motivasi serta disuntik dengan semangat agar emosi, rohani dan jasmani mereka berkembang dengan seimbang.

“Justeru itu, MDKS turut sama mengambil peranan supaya golongan belia dapat bergerak seiring dengan pembangunan di daerah ini.

“Selain memberikan perkhidmatan perbandaran kepada warga Kuala Selangor, penekanan pengukuhan jati diri, iman dan akhlak yang menjadi benteng terbaik bagi golongan belia,” katanya dalam kenyataan.

Rahilah berkata, program motivasi amat relevan dengan situasi belia ketika ini yang terdedah dengan pelbagai anasir negatif.

“Usaha murni membangunkan remaja tidak akan berjaya tanpa sokongan dan pembabitan berterusan daripada semua pihak terutamanya keluarga serta masyarakat,” katanya.


Pengarang :