Khalid Abd Samad menandatangani buku pelawat disaksikan Amirudin Shari di Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor Tingkat 21, Bangunan SSAAS Shah Alam pada 27 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Menteri Wilayah Persekutuan kunjungi MB Selangor

SHAH ALAM, 27 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menerima kunjungan hormat Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad di pejabat beliau, di Bangunan Sultan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini, hari ini.

Pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri ini menyambut ketibaan Khalid pada jam 8.50 pagi bersama delegasi Kementerian Wilayah Persekutuan. Selepas itu Amirudin mempengerusikan perbincangan isu membabitkan Selangor dan Wilayah Persekutuan di Bilik Gerakan Negeri.

Bercakap kepada SelangorKini selepas pertemuan tersebut, Amirudin berkata, perbincangan bersama Menteri Wilayah Persekutuan tersebut memberi fokus terhadap penyelesaian tanah di Mukim Ulu Semenyih, Daerah Hulu Langat dan status tanah di Kampung Bharu, Kuala Lumpur yang tertangguh sejak sekian lama.

Katanya, penyelesaian isu pengukuran sempadan antara Selangor dan Wilayah Persekutuan turut diketengahkan dalam perbincangan selama hampir dua jam itu.

“Kita menyelesaikan banyak perkara termasuk isu tertangguh sejak 21 tahun lalu dan kali terakhir secara dokumentasinya pada 1999, namun selepas itu belum ada penyelesaian tuntas dan menyeluruh.

“Kita juga bersepakat untuk mengadakan mesyuarat seperti ini secara lebih kerap iaitu tiga atau sebulan sekali bagi merungkai dan meneliti beberapa isu yang memberi kesan langsung serta tidak langsung terhadap kedua-dua pihak,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Selangor dan Wilayah Persekutuan banyak berkongsi kepentingan antara satu sama lain, khususnya daripada aspek pentadbiran serta pengurusan.

“Justeru, kita berharap supaya masalah ini dapat diselesaikan yang akhirnya akan membabitkan isu kesejahteraan dan berkaitan kehidupan masyarakat di kedua-dua negeri,” katanya.

Kunjungan kali pertama itu turut disertai Setiausaha Sulit Kanan Menteri Wilayah Persekutuan, Zulkefli Mohd Nani; Setiausaha Sulit Menteri Wilayah Persekutuan, Firdaus Mokhtar; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Dato’ Siti Fatimah Daud.

Hadir sama, Pengarah-Pengarah Jabatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.


Pengarang :