Nor Azni menerima bantuan mesin sulam daripada Kerajaan Negeri menerusi Program Blueprint Pembasmi Kemiskinan Negeri Selangor. Sumbangan disampaikan oleh V Ganabatirau di Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil Sepang pada 13 Ogos. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.
EXCO SELANGOR

Mesin sulam bantu suri rumah tingkat pendapatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

DENGKIL, 13 OGOS : Seorang suri rumah tangga yang berpengalaman hampir 35 tahun menjahit baju terharu apabila menerima bantuan mesin jahit sulam bernilai RM5,000 daripada Kerajaan Negeri.

Beliau, Nor Azni Abdul Rahman, 53 mengakui tidak menaruh harapan tinggi untuk memiliki mesin tersebut ekoran harganya yang mahal.

“Tapi siapa sangka rupanya ia menjadi rezeki saya juga, terima kasih Kerajaan Selangor kerana prihatin.

“Sebelum ini, saya terpaksa menghantar pakaian yang ingin disulam kepada orang lain sekiranya pelanggan inginkannya, tapi sekarang tidak lagi kerana saya boleh melakukannya sendiri di rumah.

“Dengan adanya mesin ini, saya boleh meningkatkan lagi pendapatan saya pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu bagi peniaga makanan, Zaidi Jalil, 50 dari Salak Tinggi pula gembira apabila menerima dapur memasak bernilai RM3,000 daripada Kerajaan Negeri.

“Dengan adanya dapur masak sebegini, saya berharap perniagaan lebih lancar serta teratur sekali gus mampu menarik lebih ramai pelanggan datang.

“Ini juga mungkin hadiah sempena Hari Aidiladha yang baru sahaja berlalu,” katanya.

Kedua-dua mereka antara 73 penduduk Sepang yang menerima bantuan menerusi Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Sepang 2019 bertempat di Dewan Orang Ramai Dengkil, hari ini.

V Ganabatirau ditemani Borhan Aman bergambar bersama penerima bantuan peralatan Program Blueprint Pembasmi Kemiskinan Daerah Sepang. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

Hadir menyerahkan bantuan ialah EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau, turut serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah, ADN Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah dan Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah salah satu program yang dirangka dengan tujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi kumpulan sasar menerusi projek ekonomi yang berdaya maju dan berpotensi untuk berkembang.

Secara langsung ia bertujuan meningkatkan pendapatan kumpulan sasar iaitu golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Sehingga kini, Kerajaan Selangor meluluskan 290 permohonan untuk sembilan daerah dengan jumlah peruntukan RM1.1 juta bagi bantuan peralatan mesin menerusi Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.


Pengarang :