AGENDASUKANKINI

MFL-EVC mula penstrukturan semula hak penyiaran Liga Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 OGOS: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) telah memulakan proses pengstrukturan semula hak penyiaran Liga Malaysia 2020 dalam tempoh 60 hari seperti ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif EVC, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid berkata, gandingan MFL-EVC telah berkomunikasi dengan pelbagai pihak termasuk beberapa syarikat korporat tempatan dan antarabangsa, firma modal teroka berorientasikan sukan, penyedia teknologi serta bakal pelabur dalam usaha untuk membentuk perkongsian strategik.

Katanya, setakat ini beberapa syarikat dari Amerika Syarikat, Singapura, United Kingdom serta negara lain di Eropah dan Timur Tengah menunjukkan minat.

“Platform ‘Over The Top’ (OTT) dan siaran langsung adalah saluran media utama yang telah diputuskan untuk projek ini.

“Ia bakal menjadi satu-satunya sumber saluran media buat orang ramai mengakses dan menikmati kandungan bola sepak MFL.

“Projek ini telah menerima maklum balas positif pelbagai pemaju aplikasi dan penyedia teknologi yang berminat dalam menyediakan kepakaran masing-masing bagi menjayakan usaha ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua perkongsian yang dikemukakan persatuan bola sepak dan kelab peminat sedang dimuktamadkan bagi melancarkan proses penstrukturan.

Muhammad Nizamuddin yakin EVC dapat melaksanakan tugasan diberikan dalam memastikan kerjasama terjalin ini memberi manfaat kepada semua pihak khususnya pemegang taruh bola sepak Liga Malaysia dan seluruh komuniti peminat bola sepak di negara ini.

“Apa yang pasti, EVC menyokong usaha MFL yang telah bersedia melakukan penstrukuran hak penyiaran Liga Malaysia dalam usaha meningkatkan pendapatan pasukan yang bertanding.

“Walaupun projek berkenaan tidak semudah disangka, saya kekal optimis bahawa sudah tiba masanya MFL keluar daripada zon selesa demi mengangkat mutu bola sepak tempatan,” katanya.


Pengarang :