AGENDASUKANKINI

MFL-Gamesbond anjur e-sukan hangatkan Piala Malaysia

SHAH ALAM, 14 OGOS: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan kerjasama Gamesbond Global Sdn Bhd (Gamesbond) bakal memperkenalkan kejohanan sukan elektronik (e-sukan), E-Piala Malaysia sempena saingan Piala Malaysia 2019 musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan teruja bagi memperkenalkan pendekatan baharu dengan mengadakan kejohanan berkenaan yang bakal dibarisi pemain e-sukan berstatus profesional negara.

Katanya, pihaknya enggan ketinggalan menyumbang terhadap e-sukan memandangkan sukan terbabit semakin mendapat perhatian serius dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Kini, e-sukan menjadi kegilaan sebahagian daripada remaja dan ia dilihat mampu diketengahkan sebagai aktiviti yang boleh menjamin masa depan golongan belia,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, aktiviti itu bukan sekadar untuk mengisi masa lapang, malahan boleh mendatangkan ganjaran lumayan melalui pertandingan yang sering dianjurkan di luar negara.

“Saya percaya E-Piala Malaysia ini bakal menghangatkan lagi saingan kejohanan tertua di Asia Tenggara ini yang kini sudah memasuki saingan peringkat kumpulan.

“Selain itu kita juga merancang untuk menganjurkan pertandingan liga seiring dengan saingan Liga Malaysia musim depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Gamesbond, Muhammad Fazli Razak berkata, pihaknya memilih beberapa pemain ranking terbaik tanah air yang dijangka bakal membuat penampilan di E-Piala Malaysia.

“E-Piala Malaysia kali ini bakal menggunakan permainan video FIFA 20, kita sudah senarai pendek dan memilih pemain e-sukan berdasarkan ranking rasmi serta pencapaian antarabangsa terbaharu,” katanya.


Pengarang :