AGENDANASIONAL

MIDA konsisten bantu PKS laksana industri 4.0

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memahami kesukaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melaksanakan Industri 4.0 yang berdepan dengan tempoh ekonomi mencabar.

MIDA bekerjasama dengan PKS untuk membantu mereka meningkatkan penggunaan teknologi mereka ke arah menjadi juara serantau atau global.

Industri 4.0 pada dasarnya merujuk kepada trend ke arah automasi dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan dan proses termasuk Internet of Things, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan.

Pengarah Eksekutif Penggalakan Pelaburan MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, selain agensi kerajaan, PKS, yang merangkumi 98.5 peratus daripada perniagaan negara, juga boleh bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan IT, penyepadu sistem dan sektor swasta.

“Kami mengakui bahawa pada masa ini, kebanyakan PKS sama ada di peringkat Industri 2.0, 2.5 atau 3.0, kami boleh membantu dengan menggalakkan mereka melaksanakan Dasar Kebangsaan mengenai Penilaian Kesediaan Industri 4.0 atau (Industry4WRD-RA),” katanya kepada pemberita pada seminar di sini, hari ini.

Penilaian itu, yang dilancarkan pada Oktober tahun lepas, bertujuan memacu transformasi digital sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan di negara ini. Sebanyak RM210 juta diperuntukkan untuk menyokong program penilaian ini bagi tempoh antara 2019 dan 2021.

Kerajaan menyasarkan untuk menilai 500 syarikat pada tahun ini dan 500 lagi tahun depan.

“Kami mahu PKS kita melihat luar Malaysia dan dengan adanya platform digital, pasaran menjadi tanpa sempadan. Pasaran ASEAN sahaja terdiri daripada asas penduduk sebanyak 650 juta orang,” katanya.

Pada seminar untuk meningkatkan kesedaran mengenai dasar kerajaan dan kemudahan untuk Persatuan Rangkaian Usahawan India Malaysia (1MINE), Sivasuriyamoorthy berkata, insentif utama yang disediakan oleh MIDA sejak dua tahun lepas termasuklah Elaun Modal Automasi untuk syarikat melaksanakan automasi dan robotik.

“Mereka boleh menuntut elaun ini daripada kerajaan dan selain itu, kami juga mempunyai Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) sebahagian besarnya untuk 60 peratus syarikat milik rakyat Malaysia. Kami telah memperluaskan DISF untuk merangkumi industri 4.0,” katanya.

Sementara itu, Presiden 1MINE, Datuk S Gopinath berkata, persatuan itu kini mendidik 200 ahlinya untuk tidak menjalankan perniagaan secara konvensional, tetapi memanfaatkan trend Industri 4.0 pada masa ini.

“Mereka tidak akan ke mana-mana jika tidak berubah dan perlu mendapat pengiktirafan sebagai usahawan India di negara ini,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :