PBT SELANGOR

Mimbar Madani: 210 warga MPSJ alun bacaan al-Quran

SUBANG JAYA, 31 OGOS: Seramai 210 kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjayakan Majlis Mimbar Madani MPSJ yang diadakan semalam di Surau Ar-Raudhah MPSJ, Subang Jaya, di sini.

Program iyang dianjurkan minggu keempat setiap bulan itu bertujuan mengimarahkan surau berkenaan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan sesi tazkirah.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, ia juga diadakan sekali dengan sambutan program Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas sebagai tanda menyahut seruan dengan bertemakan “Bangsa Berbudi dan Penyayang”.

“Al-Quran adalah sumber rujukan terbaik dalam memandu kehidupan dan seharusnya kita menghayati serta mengamalkan apa yang termaktub di dalam Al-Quran ke arah usaha mewujudkan bangsa berbudi dan penyayang.

“Bangsa berbudi dan penyayang adalah bangsa yang mempunyai jati diri tersendiri yang berpegang teguh kepada ajaran agama, serta mampu menghidupkan budaya serta warisan bangsanya selain memberi kebaikan kepada negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, bagi menyemarakkan majlis sambutan itu turut diadakan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Yazid Abu Hassan bertajuk Hijrah Hati.

Antara intipati tazkirah adalah menyeru semua muslimin dan muslimat untuk sentiasa berhijrah ke arah kebaikan serta memperbaiki diri agar bangsa berbudi juga penyayang yang mampu memberikan manfaat kepada semua dapat diwujudkan.


Pengarang :